Sunday, March 6, 2011

Strategi memilih produk

Untuk memulakan perniagaan internet, anda perlu memiliki sesuatu produk yang boleh dijual. Bagi memilih produk pertama anda, anda perlu mengambil kira dua aspek terpenting iaitu:
  • Minat anda terhadap produk. Jika anda mempunyai minat terhadap produk yang ingin anda jual, anda akan lebih mudah dan selesa untuk menjualnya kerana anda mungkin tahu lebih banyak berkaitan produk tersebut.
  • Permintaan para pembeli di internet terhadap produk anda. Walaupun anda menjual produk yang anda minat, tetapi ia tidak menjamin produk anda akan terjual dengan mudah di internet jika produk anda tiada permintaan yang ketara. Dengan memilih produk yang mempunyai nilai permintaan tinggi di internet, anda akan dapat menjual dan memperoleh keuntungan dengan lebih cepat dan banyak.
Kedua-dua aspek di atas adalah berkait rapat di antara satu sama lain. Malah, dengan menggabungkan dua aspek ini dalam proses memilih produk, kecenderungan untuk mendapat jualan di internet akan menjadi lebih tinggi dan mudah untuk anda.

Di dalam dunia ini, minat dan kesukaan adalah subjektif dan berbeza bagi setiap individu. Namun secara semula jadinya, akan terdapat sejumlah manusia yang akan mempunyai minat dan kesukaan yang sama. Oleh itu, anda boleh gunakan persamaan minat ini untuk mengagak produk yang boleh anda jual di internet.

Contohnya, jika anda amat meminati kasut jenama Supra, tetapi mungkin anda dapati bahawa ramai kawan-kawan di sekeliling anda tidak begitu berminat dengan kasut jenama Supra. Sebaliknya, jika anda menggunakan internet sebagai medium sosial, anda akan dapati bahawa beribu-ribu orang di luar sana yang mempunyai minat yang sama dengan anda. Secara tidak langsung, mereka bolehlah di anggap sebagai kumpulan sasaran perniagaan internet anda. 

Dengan melakukan sedikit 'Market Research' atau kajian pasaran yang betul, anda boleh mengetahui apakah produk atau informasi yang dicari oleh kumpulan sasaran anda ini. Ini akan memudahkan anda untuk memilih produk yang sesuai untuk dijual kepada kumpulan sasaran terpilih ini.

Terdapat beberapa laman web yang boleh anda gunakan untuk membuat 'Market Research' bagi memantau permintaan di internet bagi produk yang ingin anda jual. Antaranya adalah:

  1. ebay pulse (http://pulse.ebay.com.my/)
  2. lelong.com.my hot items (http://list.lelong.com.my/Auc/List/List.asp?DA=A&Hits=100)
  3. google keyword tools (https://adwords.google.com/o/Targeting/Explorer?__u=1000000000&__c=1000000000&ideaRequestType=KEYWORD_IDEAS#search.none)
Laman web di atas adalah antara laman web yang popular dan selalu digunakan oleh internet marketer yang berjaya untuk memilih produk. Dengan memerhatikan trend produk yang hangat di pasaran internet, anda boleh mendapat idea terbaik untuk membuat pilihan produk yang akan anda jual di internet.

0 comments:

Post a Comment