Tuesday, January 4, 2011

Kenali dunia perniagaan internet



Ingin tahu apa itu perniagaan internet?

Ramai sebenarnya di luar sana yang berminat dengan idea menjalankan aktiviti perniagaan di internet, tapi rata-ratanya masih samar-samar lagi dengan cara sebenar untuk melakukannya.

Mungkin antara persoalan yang bermain di fikiran anda berkaitan perniagaan internet adalah; "apa sebenarnya perniagaan internet ni?", "betul ke boleh buat duit di internet?" dan "boleh ke saya berniaga di internet?".

Perniagaan internet adalah merupakan satu konsep yang membolehkan sesuatu perniagaan dijalankan merentasi sempadan masa dan kawasan atau dengan lebih mudahnya, membawa sesuatu perniagaan ke peringkat global, dunia tanpa sekatan.

Dengan memiliki perniagaan internet, produk anda dapat dipasarkan ke seluruh dunia dan prospek untuk mendapat pelanggan adalah lebih tinggi lagi.


Apakah potensi perniagaan internet?


Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh World Bank, World Development Indicators, jumlah pengguna internet di Malaysia pada tahun 2005 adalah seramai 12, 456, 300 orang dan tahun 2008 adalah seramai 15, 074, 000 orang. Ini menunjukkan peningkatan 21% jumlah penguna internet di Malaysia sepanjang 4 tahun tersebut.

Jika jumlah pengguna internet di Malaysia sahaja sudah melepasi angka 15 juta pada tahun 2008, bayangkan jumlah pengguna internet Malaysia pada tahun ini. Bagaimana pula jika ditambah dengan jumlah pengguna internet seluruh dunia, pasti angkanya melebihi nilai billion dan sebanyak itulah jumlah prospek yang dapat kita capai dengan menggunakan konsep perniagaan melalui internet.

Katakan anda hanya mampu mendapat 1% pelanggan berpotensi daripada jumlah total pengguna internet di Malaysia, jumlah pelanggan berpotensi anda tetap amat banyak dan inilah fakta potensi perniagaan internet yang perlu anda ketahui dan peluang yang perlu anda rebut.

Sebagai perbandingan, jika anda memiliki sebuah kedai menjual kasut yang terletak di selangor, mungkin prospek atau pelanggan berpotensi anda datangnya daripada penduduk sekitar kawasan di selangor tersebut sahaja. Mungkin sehari anda boleh mendapat pelanggan seramai 500 orang.

Tetapi, dengan menggunakan konsep perniagaan di internet, jumlah prospek dan pelanggan berpotensi anda akan bertambah berlipat kali ganda sehingga mungkin ke 3000-4000 orang sehari atau lebih kerana kedai anda dapat diakses oleh pembeli-pembeli di luar kawasan selangor dan ini secara jelas dapat meningkatkan lagi jumlah keuntungan yang boleh anda jana.


Berapakah modal untuk menjalankan perniagaan internet?

Sebelum persoalan di atas dijawab, berapakah kos yang sanggup anda tanggung untuk memulakan sesuatu perniagaan? Mungkin untuk kegunaan sewa kedai, gaji pekerja, kelengkapan kedai, kos aktiviti promosi dan sebagainya, adakah sebanyak RM2000, RM5000 atau RM10 000? 

Bagi memulakan perniagaan konvensional, kebiasaannya anda memerlukan modal seperti di atas, malahan mungkin jumlah tersebut adalah tidak cukup. Tetapi yang menariknya, anda dapat memulakan perniagaan internet pada modal atau kos yang amat rendah iaitu sekitar beberapa ratus ringgit sahaja sebulan.

Apa yang lebih menarik mengenai perniagaan internet adalah, jumlah modal adalah lebih bergantung kepada strategi yang anda gunakan. Jika anda memiliki modal yang banyak, anda boleh terus menggunakan strategi-strategi berbayar yang terbukti berkesan untuk menjayakan perniagaan internet anda. 

Namun jika anda mahu bermula secara kecil-kecilan dengan menggunakan kos yang rendah, anda masih boleh melakukannya dan membina perniagaan internet anda secara perlahan-lahan. Jumlah modal adalah bergantung kepada kemampuan anda atau jumlah yang sanggup anda laburkan.


Bagaimana caranya memulakan perniagaan internet?

Secara asasnya, terdapat 4 perkara yang perlu anda ketahui untuk melakukan perniagaan internet iaitu:
  1. Mempunyai produk yang sesuai untuk dijual di internet
  2. Mempunyai laman web yang memaparkan produk anda
  3. Promosikan laman web anda ke seluruh dunia (internet marketing)
  4. Terima tempahan daripada pelanggan dan selesaikan transaksi
Untuk menjalankan perniagaan di internet, anda perlu memahami sekurang-kurangnya 4 perkara asas di atas. Di Strategi Internet.com, anda akan pelajari cara-cara untuk memulakan perniagaan internet anda mengikut 4 perkara asas tersebut sehingga anda mampu melakukannya sendiri.

Jadi jangan ketinggalan untuk mengetahui strategi-strategi melakukan perniagaan menggunakan teknik pemasaran internet yang efektif dengan sentiasa melayari Strategi Internet.com!

0 comments:

Post a Comment